1. Mendidik para pemandu
Langkah utama untuk mengatasi kemalangan jalan raya ialah mendidik para pemandu khususnya pemandu pengangkutan awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu. Peratusan tinggi dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan fokus. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal umpama tidak bermakna. Kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan melalui pendidikan di sekolah. Sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah juga halnya dalam usaha untuk mendidik pemandu agar lebih berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya maklum akan hal ini dan telahpun memasukkan silibus keselamatan jalan raya dalam pendidikan di sekolah. Secara tidak langsung, anak-anak yang belajar di sekolah boleh mendapat pendidikan secara langsung tentang peraturan dan isu-isu keselamatan ketika berada di jalan raya.
2. Membaiki keadaan jalan raya
Langkah lain yang boleh diambil pula ialah dengan membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam dan waktu hujan. Umpamanya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan berlaku jika kenderaan di belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
3. Peranan pihak berkuasa
Pihak-pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD) mahupun organisasi berkaitan yang lain perlu berganding bahu dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya serta rondaan secara berkala mampu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Selain itu, pihak-pihak berkuasa itu perlu bertanggungjawab semasa bertugas supaya tidak menerima rasuah dan memberi peluang kepada sesiapa yang melanggar peraturan jalan raya tidak dikenakan denda ataupun konpaun. Namun demikian, pemantauan yang dibuat perlulah secara berterusan dan bukannya mengikut musim kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.


No comments:
Post a Comment